Saturday, October 31, 2009

Generasi muda kini lupa sejarah ikatan serumpun

sumber:berita harian.

Pertikaian remeh tak mampu goyahkan hubungan baik KL-Jakarta

NOVEMBER ini tanggal 11 haribulan, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) akan melakukan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara pertama yang akan dilawatinya selepas dipilih mengetuai pemerintahan Republik Indonesia untuk penggal kedua, minggu lalu. Lawatan SBY adalah sebagai membalas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir pada majlis pemasyhuran beliau sebagai Presiden Indonesia.

Sejak dilantik Perdana Menteri Mac lalu, Najib sudah melawat Indonesia tiga kali, walaupun hubungan kedua-dua negara masih didakwa menghadapi masalah dari semasa ke semasa. Dengan lebih 220 juta rakyat, Indonesia adalah sebuah negara besar dan boleh dengan mudah muncul sebagai negara berpengaruh di dunia. Sebagai sebuah kuasa yang besar, setiap individu di republik itu mestilah juga berjiwa besar. Rakyat Indonesia tidak boleh berjiwa kecil. Sebagai bangsa bermaruah, rakyatnya mestilah menegakkan martabat negara mereka dan membuktikan bahawa mereka adalah bangsa yang agung. Bangsa yang agung mestilah berjiwa besar dan bersemangat waja.


Malaysia, walau pun kecil mempunyai cita-cita dan matlamat membangunkan negaranya untuk menjadi sebuah negara maju. Atas dasar ini, kedua-dua negara perlu memikirkan perkara yang membolehkan mereka bergerak ke depan dalam bidang yang menguntungkan, bukan bercakaran soal yang tidak bermanfaat.

Dari segi 'kerajaan dengan kerajaan', hubungan Malaysia-Indonesia berada pada landasan yang betul mantap. Jika ada pun sedikit sebanyak masalah, ia hanyalah dari segi hubungan antara 'rakyat dengan rakyat'. Hari ini sebahagian besar rakyat di kedua-dua negara, terutama generasi muda, sudah tidak tahu menyanyi atau sekurang-kurangnya bersiul lagu Semalam di Malaya atau Begawan Solo yang menusuk kalbu dengan makna yang mendalam dari segi perjuangan bangsa. Jika ada pun lagu yang membabitkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara hari ini ialah lagu Cinta Ku Tertinggal Di Malaysia. Ia kisah anak-anak muda. Perjuangan mereka hari ini jauh berbeza dengan perjuangan rakyat 60 atau 70 tahun lalu.

Disebabkan hubungan yang begitu intim, maka berlakulah sedikit sebanyak pergeseran pendapat. Ini perkara biasa, ibarat adik beradik yang tinggal sebumbung, ibarat anjing dengan kucing. Jika tinggal berjauhan, tidak ada sebab pun mereka bercakaran. Malaysia dan Indonesia sering bergeseran kerana mereka sering berinteraksi antara satu dengan lain. Tidak ada sebab mereka bertegang leher dengan negara lain yang tidak ada hubungan dengan mereka. Andaian sebegini pernah diberikan SBY apabila wartawan bertanyakan mengapa Malaysia dan Indonesia sering berantakan.

Apa pun, perlu diakui bahawa keakraban Malaysia-Indonesia ini tidak lekang daripada menghadapi pelbagai masalah. Isu kecil cuba diperbesar-besarkan sedang ia bukan perkara yang sewajarnya dijadikan persoalan. Ada pihak di negara itu cuba mengeruhkan suasana dengan matlamat yang sukar difahami. Mereka gemar membangkitkan isu remeh-temeh yang mempunyai elemen emosi yang tinggi untuk mengeruhkan suasana. Di Malaysia juga beberapa peristiwa menyebabkan rakyat negara itu berasa bahangnya. Kemarahan mereka itu ada kalanya sangat difahami terutama apabila ia menyebabkan tragedi atau ada nyawa yang melayang akibat perbuatan manusia yang terkeji.

Rakyat di Indonesia juga perlu tahu bahawa tiada rakyat di Malaysia ini yang simpati dengan sebarang perbuatan zalim yang dilakukan oleh rakyat negara ini sendiri. Jika majikan melakukan keganasan terhadap pembantu rumah mereka daripada rakyat Indonesia, atas alasan apa sekali pun, tidak boleh diterima akal. Jika pembantu rumah melakukan kesalahan jenayah, serahkan kepada pihak berkuasa. Jangan menjatuhkan hukuman di tangan sendiri.

Media dianggap antara punca yang mengeruhkan suasana hubungan antara kedua-dua negara. Perkara ini dikupas dalam Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media dan Budaya) di Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Oktober lalu. Beberapa tokoh budaya dan wartawan dari kedua-dua negara mengambil bahagian dalam seminar itu.

Analisis dijalankan pensyarah Universiti Malaya menunjukkan akhbar berbahasa Melayu di negara ini banyak menyiarkan berita mengenai isu politik dan bencana alam yang berlaku di negara itu. Ada berita yang dipetik menunjukkan wujud unsur konflik antara Indonesia dengan Malaysia yang dimainkan oleh media Indonesia. Kajian itu menunjukkan dua akhbar Melayu utama di negara ini mempunyai kecenderungan berbeza dalam penggunaan bahan berita daripada agensi berita antarabangsa.

Satu lagi kertas kerja membicarakan tatasusila kewartawanan Malaysia dan Indonesia yang jauh berbeza. Wartawan Malaysia berpegang kepada Tatasusila Kewartawanan Malaysia 1980 dan Kod Perilaku Profesional Anggota Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) manakala wartawan Indonesia pula patuh kepada Kode Etika Jurnalistik 2006. Jika sebelum tahun keramat itu, wartawan Indonesia dikongkong, hari ini mereka bebas sebebas-bebasnya. Mereka begitu bebas sehinggakan ada yang mengatakan jika ada permintaan atau arahan supaya media tidak menyiarkan sesuatu berita atas sesuatu alasan, berita itulah yang akan diperbesarkan.


Monday, September 7, 2009

DIPLOMASI BAMBU KUNING

"Diplomasi Bambu Kuning" adalah merupakan suatu jalan penyelesaian yang bakal diambil dalam usaha untuk memulihkan dan mengurangkan ketegangan yang berlaku dalam konflik Indonesia- Malaysia berkenaan pemilik sebenar Tarian Pendet. Diplomasi Bambu Kuning adalah satu diplomasi yang bepegang kepada prinsip kuat, tegas, dan berwibawa dalam menangani sesuatu isu. Namun demikian, seperti bambu, sekeras-keras mana pun, ia masih boleh dilenturkan dengan harapan suatu permasalahan itu akan dapat diselesaikan tanpa perlu menggunakan sebarang kekerasan (use of force).

Selain itu, intipati kepada Diplomasi Bambu Kuning banyak berkisar kepada mencari solusi kepada konflik yang sedang melanda disamping membincangkan berkenaan mekanisme yang kaan digunakan seandainya berlaku lagi pertindihan maklumat ke atas sesuatu perkara pada masa akan datang.

Menurut Geoff Berriedge dalam bukunya Diplomacy: theory and practise, diplomasi adalah suatu kaedah langsung yang bertujuan untuk mengelakkkan sesebuah konflik berakhir dengan penggunaan kekerasan, tindakan undang-undang mahupun akan digunakan sebagai alat propaganda oleh institusi yang tidak bertanggung jawab. Lantaran itu, saya tidak melihat konflik tersebut perlu diselesaikan melalui tindakan undang-undang mahupun penggunaan kekerasan kerana perkara tersebut akan merugikan kedua-dua negara. Tambahan pula dalam situasi pertumbuhan ekonomi tempatan negara masing-masing yang masih lagi perlahan, adalah tidak relevan seandainya perkara tersebut perlu menggunakan sumber kewangan yang banyak bagi untuk diselesaikan.

Dalam konflik Indonesia-Malayisa, batasan kesamaan antara kedua-dua negara juga menjadi intipati kepada wujudnya Diplomasi Bambu Kuning. Hubungan kedua-dua negara yang mulai terjalin sejak penubuhan ASEAN memperlihatkan dinamika dalam hubungan kedua-dua negara melalui aktiviti pemindahan teknologi, bantuan ekonomi dan pendidikan. Oleh yang demikian, konflik kedua-duanya pasti akan membawa kerugian bukan sahaja kepada hubungan bilateralkedua-dua negara, bahkan akan turut mempengaruhi hubungan multilateral denagan negara-negara serantau yang lain terutamanya melalui ASEAN.

Lantaran itu, Diplomasi Bambu Kuning dilihat sebagai suatu mekanisma terbaik dalam usaha untuk reintergerasikan semula hubungan kedua-dua negara disamping untuk mengelakkan wujud perasaan curiga antara negara yang diketahui telah melatari hubungan Malaysia-Indonesia sejak era Sukarno lagi sehingga menyukarkan kerjasama erat antara kedua-dua negara.

Sunday, September 6, 2009

Cerita Kedai Kopi

"Cerita kedai kopi, cerita kedai kopi" kedengaran lirik tersebut sedang berkemundang dari "awek" kesayangan aku yang aku beri nama Didgeridoo Jr. Ada kritikan yang dilemparkan, terhadap siapa, berkenaan apa, aku pun tidak begitu pasti.

Namun aku percaya lagu ini adalah dari bayangan praxis yang di bawa oleh Ludwig Wittgenstein seorang ahli falsafah Jerman yang mengetengahkan idea tersebut (praxis) dalam makalah beliau Remarks on Colour. Menurut Ludwig, melalui pendekatan praxis, publik berupaya mengesani satira yang tersirat dalam lagu tersebut melalui beberapa lapis makna.

Selalunya, kritikal tersebut adalah berkaitan dengan situasi politik atau juga berkenaan pemain-pemain politikus (political players). Malique juga mengekstradisi tentang sesetengah orang bawahan yang menjadikan sesebuah cerita lebih sensasi di kedai kopi dalam lagu beliau ini dan peranan mereka yang masih lagi sibuk mengambil tahu hal orang lain berbanding rakyat negara maju yang menjadikan "kedai kopi" untuk meningkatkan atau membincangkan berkenaan intelektualiti.

Aku masih lagi teringat kata-kata sorang sahabat aku, lagu, filem, teater, atau penulisan hanya akan berjaya seandainya mereka menyelitkan unsur-unsur sejarah, agama, dan politik dalam sekalian medium seni tersebut. Itulah yang kini sedang dipraktikkan oleh kebanyakkan oleh pembikin filem, penulis lirik, dan penulis dalam setiap karya mereka. Dan disebabkan itu juga, karya-karya mereka begitu laris kerana memegang idea intelektualliti berbanding kebanyakkan filem, buku, dan lagu yang berkiblatkan cinta melankolia sebagai subjek utama.

Buat Malique, tahniah. Seandainya ada lebih ramai lagi yang lahir seperti beliau, dunia seni di negara ini tidak akan pernah suram.


Tuesday, September 1, 2009

THE ENEMY OF MY ENEMY IS MY FRIEND

The dragon in the backyard-

Latin America is tilting towards China, Iran and the global “south”—and away from the United States.

Kegagalan AS dalam menstabilkan kembali situasi ekonomi di negara tersebut dan negara-negara sekitarnya menyebabkan tumpuan hubungan politik antarabangsa bagi negara-negara Amerika Latin kini lebih terarah kepada negara China dan Iran. Dalam kontek ini, saya lebih melihat kepada situasi ideologi sebagai faktor utama kepada jalinan hubungan tersebut berbanding faktor ekonomi. Walaupun kita menyedari negara China dan Iran merupakan dua negara yang semakin berkembang ekonominya, namun kita tidak harus melupakan kuasa-kuasa ekonomi lain yang menjadi 'ally' kepada AS seperti Jepun, Perancis, dan Jerman-namun tidak diterima oleh negara-negara Amerika Latin.

Kenapa situasi ini berlaku?
Jawapannya adalah kerana, kebanyakkan negara Amerika Latin mempunyai hubungan yang erat dengan negara-negara yang berideologi sosialis seperti Cuba dan Venuzuela-Venuzuela juga meruapakan pengeluar minyak utama di Amerika Latin-yang bermusuhkan AS. Oleh yang demikian, perbezaan ideologi yang berlaku menjadi antara penyebab utama kepada keadaan tersebut.

Namun ini berbeza bagi Brazil-yang juga merupakan antara negara yang semakin berkembang ekonominya-mereka perlu melihat dengan lebih ke hadapan bagi mencari dimensi baharu kepada perkembangan ekonomi negara tersebut. Bahkan hubungan multipolar amat diperlukan dalam situasi inibagi mencari kepakaran-kepakaran baharu untuk menjana perkemabnagn dan pembangunan negara tersebut.

Bagi China pula, ini merupakan suatu peluang yang baik untuk menambah kekuatan mereka kerana China kini juga menyedari AS memerlukan mereka sebagai 'rakan' dalam usaha untuk memulihkan ekonomi mereka. Melalui hubungan yang dijalinkan dengan negara-negara Amerika Latin, secara tidak langsung ia akan menjadi alat kepada China untuk mendesak AS agar mengkaji semula pengiktirafan kepada negara Taiwan oleh negara Uncle Sam tersebut. Walaupun duta China di Brazil mengatakan bahawa hubungan yang dijalinkan tidak mempunyai sebarang pengaruh, namun ramai pemerhati politik berpendapat ia adala salah satu usaha oleh kerajaan China bagi mendapat sokongan negara-negara-24 daripada negara seluruh dunia iktiraf Taiwan-untuk menarik semula pengiktirafan kepada Taiwan.

Begitu juga Iran, mereka melihat peluang ini sebagai sesuatu yang harus digenggam (grab)memandangkan ASkini lebih giat melakukan usaha untuk menghentikan pembinaan nuklear di negara tersebut. Bahkan lebih teruk lagi apabila mengenakan sekatan ekonomi (economic sanction). Hubunagn dengan negara-negara Amerika Latin adalah uasaha untuk mewujudkan deterent kepada AS. Seandainya hubungan dengan negara-negara Amerika Latin berjaya dilaksanakan, AS kini terkepung dalam perang ideologi dengan negara Iran.

Tidak mustahil juga, Rusia akan menyertai "pakatan" ini setelah apa yang berlaku di Ossetia Selatan dijadikan ukuran kepada ketegangan hubungan Rusia-AS.

Dalam hal ini, saya tidak menafikan, seandainya As masih berdegil dalam usahanya untuk tidak berdiplomasi dengan negara-negara musuhnya, ia akan menjurus AS kepada penciptaan lebih banyak musuh.


Konflik terbaru Malaysia-Indonesia

‘Malaysia itu memang pencuri dan kurang ajar,”-Berkisar kepada "pemilik" sebenar tarian pundet.

Apakah perasaan rakyat negara ini apabila perkataan tersebut keluar dari mulut rakyat negara jiran yang selama ini mempunyai kesamaan dari segi budaya dan tata hidup dengan penduduk negara ini.?

Mungkin sentimen "sensiviti" tersebut masih belum benar-benar wujud dalam kebanyakkan hati rakyat negara Indonesia sehinggakan terpaculnya ayat-ayat sedemikian yang jika dilihat dari kontek hubungan antarabangsa boleh mengeruhkan lagi perasaan curiga antara kedua-dua negara yang telah cuba dijernihkan selepas era pemerintahan Sukarno.

Sebagai rakyat negara yang berdaulat, kenyataan tersebut benar-benar melukakan hati saya. Bahkan saya amat yakin seluruh rakyat negara ini tersinggung ekoran daripada kenyataan tersebut. Situasi ini, saya percaya akan mewujudkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat negara ini terhadap rakyata Indonesia di negara ini. Seterusnya akan mewujudkan konflik antara kedua-duanya.

Langkah sewajarnya yang perlu diambil ialah dengan mengadakan permohonan maaf secara terbuka terhadap kerajaan dan rakyat negara ini. Selain itu juga, penyekatan kebebasan di Indonesia daripada membuat kenyataan secara terbuka juga perlu dilakukan bagi mengelak perkara sedemikian berlaku lagi. Kedutaan Indonesia di negara in juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dengan mengadakan "talk" secara terbuka dalam usaha untuk menjernihkan keadaan ini. Signifikannya ialah untuk mengelakkan perkara ini diputarbelitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi masing-masing.

Saya amat berharap langkah ini akan dapat membawa hubungan Malaysia-Indonesia kepada keadaan asal agar kerjasama yang sedia terjalin melalui ASEAN akan diperkukuhkan lagi

Monday, August 31, 2009

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata.

Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

*SUMBER: Berita Harian 31 Ogos 2007

Sunday, August 30, 2009

SALAM MERDEKA!!!!!

Sudah lama saya tidak menitipkan coretan di ruangan ini. Rasanya terlalu banyak untuk dituliskan di sini tetapi cukuplah sekadar kita berkongsi tentang kemerdekaan. Tambahan pula dalam "mood" kemerdekaan yang bakal mengunjung tiba dalam tempoh masa kurang dari 24 jam ini, mungkin ramai yang telah menyiapkan beberapa program bagi meraikan sambutan tersebut. Walaupun tampuk kepimpinan negara bertukar tangan, namun kemerdekaan tetap juga menjengah tiba, namun saya sendiri tertanya-tanya apalah erti kemerdekaan andai bangsanya masih terjajah mindanya. Tidak mengenal erti kemerdekaan yang sebenarnya dengan begitu jelas.

Apabila berbicara mengenai kemerdekaan, saya tertarik kepada prinsip yang ditanamkan oleh pemimpin negara India kepada rakyatnya. Saya tidak menafikan India juga merupakan antara negara yang mempunyai masalah korup yang paling tinggi tapi kita dapat melihat kesatuan dalam negara tersebut melalui keinginan bangsanya untuk maju. Saya percaya, bukan saya seorang sahaja yang melihat keadaan ini bahkan ramai lagi yang mengertikannya. Mereka (rakyat India) berjaya menguasai keilmuan dalam bidang perkomputeran, sehinggakan negara maju seperti AS menawarkan peluang kepada pelajar-pelajar India peluang pekerjaan di negara Uncle Sam tersebut disebabkan oleh kepakaran yang dimiliki oleh intelektual bangsa India.

Saya juga tertarik dengan sebuah filem Hindi yang ditayangkan yang berjudul Tango Charlie. Filem tersebut benar-benar mengesankan saya dalam mencari pengertian tentang kemerdekaan. Naskah yang berkisar kepada straregi peperangan yang diselitkan dengan semangat "Jai Hind". Bukan saya ingin menerangkan kiblat kemerdekaan saya adalah negara tersebut. Cuma saya ingin berkongsi bagaimana kita perlu melihat dan mencerna erti kemerdekaan yang diterapkan oleh bangsa-bangsa yang kian maju. Agar dapat kita mengekalkan kemerdekaan yang ada pada hari ini.

Saya berharap konsep 1Malaysia yang di war-warkan oleh kerajaan negara ini akan benar-benar diaplikasi. Bukan sekadar untuk kepentingan politik sahaja. Andai konsep ini dapat diaplikasi walaupun secara tidak menyeluruh, saya sangat percaya bahawa kemerdekaan yang kita peroleh sejak 50 tahun lalu akan terus kekal. SALAM KEMERDEKAAN DAR ANAK NEGARA MALAYSIA MERDEKA-WAN DIDGERIDOO..


Sunday, July 26, 2009

NON-TRADITIONAL THREAT: Dunia henti mengira kes Influenza A




Pegawai kesihatan tiada alat tepat kesan penghidap H1N1

WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan dunia sudah berputus asa untuk mengira bilangan orang yang dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1) dan percaya adalah lebih baik hanya menganggarkannya saja kerana virus berkenaan tidak dapat dihalang daripada terus tersebar.

Malah, pegawai kanan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Dr Anne Schuchat, turut enggan membuat anggaran, walaupun mengatakan penghidap virus itu melebihi sejuta orang.

Mengapa pegawai sepertinya juga enggan membuat kiraan adalah disebabkan mereka dan pihak berkuasa kesihatan tidak memiliki alat yang boleh membuat kiraan.

"Selain itu, kebanyakan orang yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan tidak mengetahui apa penyebabnya. Malah, kebanyakan orang yang mengalami influenza tidak mengetahui dengan tepat jenis selesema yang menyebabkan penyakit mereka," kata Schuchat kepada media.

Ujian diagnostik bagi influenza juga tidak begitu bagus. Malah, selesema babi biasanya disyaki apabila alat ujian segera untuk menguji seorang pesakit tidak dapat memberi bacaan.


"Saya fikir apa yang kita semua tahu, diagnostik kita ada hadnya," kata Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia, Robin Robinso, memberitahu pakar vaksin selesema dalam mesyuarat, minggu ini.

"Saya fikir kita semua perlu bersetuju ada keperluan memperbaiki ujian penjagaan diagnostik," kata pakar kanak-kanak, Dr John Modlin, yang mempengerusikan jawatankuasa vaksin bagi menasihatkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA).

Menyedari keperluannya, FDA memberi kebenaran menggunakan ujian kecemasan 'Quest Diagnostics Inc' bagi mengesahkan virus H1N1, ujian komersial ketiga setakat ini.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri berhenti mengira kes disahkan selesema babi atas alasan adalah lebih penting untuk memberi tumpuan ke arah usaha membendung penyebarannya.

CDC kemudian berkata, ia juga akan menghentikan kiraan jangkitan selesema babi.

"Kami fikir berjuta-juta orang dijangkiti," kata Schuchat, namun menambah ia hanyalah di hujung jari kerana hanya kes paling serius biasanya diarah ke hospital untuk diuji.


*Sumber: BERITA MINGGU 26 JULAI 2009

Sunday, July 12, 2009

PSSMI:JANGAN SENTUH KASIH SAYANG KAMI LAGI

Mungkin saya bukan orang yang layak, arif, dan seberhaknya untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan isu PSSMI. Namun, dalam negara yang mengamalkan konsep demokrasi walaupun tidak secara menyeluruh, saya merasakan amat perlu untuk melahirkan sedikit penghargaan kepada mereka yang selayak untuk mendapatkannya berkenaan isu tersebut.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu negara yang pada perkiraan saya telah membuat suatu keputusan yang akan meningkatkan kembali sokongan rakyat negara ini terhadap mereka. Melalui pemansuhan dasar PSSMI yang dilakukan, saya percaya dan berkeyakinan tinggi bahawa situasi ini (pemansuhan PSSMI) akan memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya bagi BN untuk menakluki Manek Urai. Menakluki pada hemat saya ketika ini bukanlah kemenangan secara mutlak, sebalik peningkatan kepada sokongan terhadap BN.

Keduanya, saya melihat kepada politik popular yang bermaruah yang dilakukan oleh Najib yang lebih melihat untuk meraih sokongan melalui jalan yang positif, bukan lagi menggunakan isu-isu negatif untuk memenangi rakyat negara ini yang sudah semakin tinggi tahap pemikiran mereka berkenaan mainan politik.

Akan tetapi, apa yang ingin saya nyatakan di sini secara jelas ialah jangan lagi pernah menyentuh isu PSSMI. Pada saya tidak salah untuk memantapkan bahasa asing dengan memantapkan akar umbi terutamanya melalui kaedah melahirkan lebih ramai guru pakar dalam BI yang menjadi lingua franca dalam dunia globalisasi kini. Saya dan rakyat Malaysia yang lainnya tidak pernah mempersoalkannya, cuma apa yang saya inginkan dan harapkan agar pihak-pihak tertentu tidak lagi menyentuh isu bahasa Melayu ini kerana inilah kasih sayang kami, kasih sayang yang telah lama diperjuangkan oleh nenek moyang saya dan yang lainnya yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi umat negara ini.

Sunday, June 14, 2009

Konflik Palestin: Punca dan penyelesaian.

Konflik Palestin merupakan konflik yang begitu panjang dalam sejarah pengkajian sesebuah konflik. Dalam perspektif tersebut, saya akan melihat konflik tersebut dari kerangka teori analisis konflik yang dicerna melalui penulisan Kenneth Waltz yang memperihalkan punca dan penyelesaian dalam sesuatu konflik.

Chin Peng dan emosi rakyat Malaysia

Saya mungkin tidak begitu tertarik untuk melihat dan membicarakan berkenaan keinginan sesetengah pihak yang ingin membawa kembali Chin Peng ke Malaysia. Ini kerana, pada hemat saya terdapat kepentingan politik terhadap tindakan berkenaan yang merencanakan isu tersebut. Propaganda tersebut sangat jelas dalam situasi politik yang dilihat semakin tidak menentu pada masa ini.

Mungkin pada dasarnya saya agak terkesan melihat semula kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan komunis melalui filem-filem seperti Sarjan Hassan, dan Bukit Kepong. Namun, dalam kontek ini, saya perlu rasional untuk menilai sesuatu perkara. Dan berkemungkinan saya agak keterlaluan andai membandingkan penafian hak ke atas Chin Peng di negara ini dengan individu lain yang dianggap sebagai pejuang walaupun menganggotai "pasukan" yang sama semasa kegiatan komunis berleluasa di negara ini.

Walaupun disaat kebanyakkan masyarakat mengancam dengan pelbagai tindakan seandainya Chin Peng kembali ke negara ini. Saya masih tidak melihat pengaruh yang kuat dapat dimainkan seandainya kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Pelaku-pelaku politik akan memanipulasikan keadaan tersebut untuk kepentingan masing-masing.

Monday, May 18, 2009

Rahul individu berpengaruh dalam arena politik India

NEW DELHI: Tumpuan politik India terarah kepada Rahul Gandhi, bintang kempen parti Kongres yang menang besar dalam pilihan raya India dalam masa hampir dua dekad dan disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Manmohan Singh, berkata beliau meminta Rahul, pewaris dinasti berpengaruh Nehru-Gandhi, untuk menyertai Kabinet, langkah yang dilihat penganalisis sebagai batu loncatan untuk beliau menjadi pemimpin negara itu.

Rahul tidak terbawa-bawa dengan pujian melimpah ruah selepas keputusan pilihan raya kelmarin menunjukkan Kongres memperoleh keseluruhan majoriti.

Rahul berkata dalam kenyataan yang disiarkan dalam televisyen yang beliau melihat peranannya sebagai usaha membuka sistem politik India kepada generasi muda.

"Tugas saya ialah mengubah politik negara ini dan mengeluarkan tenaga penduduk muda," kata Rahul, 38, yang ketampanan dan lesung pipit pada wajahnya menghiasi poster pilihan raya seluruh negara itu.

Bagaimanapun, penyokong setia menjerit meminta Gandhi dinamakan sebagai Perdana Menteri dan menghujani beliau dengan kelopak bunga di kawasannya di Amethi, kubu kuat keluarganya sejak sekian lama, di negeri Uttar Pradesh.

Penganalisis berkata, kemenangan besar parti itu dan berada dalam Kabinet akan membuka jalan kepada Rahul untuk menggantikan Singh, 76, yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung baru-baru ini, di pertengahan jalan penggal lima tahun.

"Ini adalah kemungkinan peralihan paling lancar bagi Rahul. Singh menjadi Perdana Menteri mungkin untuk dua tahun, kemudian meletak jawatan atas alasan kesihatan dan menyerahkan kuasa kepada Rahul," kata Subhash Agrawal, pengarah India Focus.

Rahul, ketua sayap pemuda Kongres, menegaskan ketika kempen beliau mahu membuatkan lebih ramai penduduk muda terbabit dalam politik.

Dengan 51 peratus daripada 1.1 bilion penduduk bawah usia 25 dan dua pertiga bawah usia 35, undian penduduk muda mewakili majoriti besar bagi parti itu.


* Sumber daripada www.bharian.com.my

Monday, April 6, 2009

Al-Fatihah...

Menjelmanya tahun 2009 telah membawa seribu kepahitan dalam hidup ini. Bermula dengan pemergian seorang sahabat yang menyaksikan diri ini membesar bersama menyambut panggilan pencipta-NYA amat memilukan. Hanya doa dapat aku kirimkan kepada arwah semoga ditempatkan bersama insan-insan soleh.

Belum kering airmata dipipi, sekali lagi diri ini dikejutkan dengan pemergian arwah opah tercinta. Insan teristimewa yang membesarkan aku di usia 4 tahun pergi meninggalkan aku buat selamanya. Belum sempat budi arwah aku balas, arwah telah dijemput kekasih sejatinya. Terkenang kembali aku disaat aku dijaga oleh arwah, kenakalan aku membuatkan arwah sering menggunakan use of force untuk menjadikan aku manusia. Rotan, penyangkut baju, serta batang ubi sudah lali bagi tubuh aku ini. Akulah cucunya yang paling degil ketika itu.

Kenakalan aku tetap berterusan ketika aku mengambil kelas puisi yang diajar oleh arwah Zubir Ali, seorang tokoh seni di negara ini. Saat aku mengikuti pengajaran arwah, aku sering menjadi penentang kepada pendapat-pendapat arwah sehinggakan kelas menjadi seakan dewan parlimen yang sedang bersidang dengan hujah masing-masing bagi mempertahankan idea yang diketengahkan. Namun, tidak pernah disangka, 'perdebatan' yang sering berlaku membawa aku semakin akrab bersama arwah. Semasa hari terakhir kelas tersebut, arwah mengajak aku keluar minum sambil bertukar-tukar pendapat. Arwah yang tidak pernah lekang dengan senyuman, dan idea bernas sering menasihati aku. Kini arwah telah pergi meninggakan kehidupan duniawi menghadap Allah yang maha Esa.

Kini aku masih terkenangkan insan-insan tersebut dalam setiap saat kehidupan yang kujalani ini. Hanya doa yang dapat kukirimkan bersama mereka semoga mereka akan ditempatkan bersama-sama insan yang soleh dan solehah, InsyaAllah.


Friday, January 2, 2009

Malaysia dalam dasar luar Obama

PEMILIHAN Barrack Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang lalu telah memberikan satu dimensi baru terhadap perlaksanaan dasar AS sama ada di peringkat domestik mahupun dasar luarnya. Angin perubahan yang ditiupkan oleh Obama jelas menepati kehendak yang diinginkan oleh rakyat negara tersebut. Buktinya ialah dengan apa yang telah diterjemahkan oleh rakyat AS melalui undian mereka. Namun demikian, persoalan yang timbul kini adakah perubahan yang diutarakan oleh Obama dalam menifestonya akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis terutamanya bagi rantau Asia Tenggara.
Bagi negara-negara Asia Tenggara, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada kemenangan Obama dalam pilihan raya presiden yang lalu kecuali perubahan dalam pengimplementasian dasar luar AS ke atas kebanyakan negara Asia Tenggara. Bahkan, negara Asia Tenggara sebenarnya kurang mendapat perhatian daripada Obama dalam menifesto beliau, malah isu Myanmar yang menjadi antara intipati dalam dasar luar AS era Bush juga seakan dilupakan. Obama berpendapat konflik dalaman Myanmar sebenarnya mempunyai satu mekanisme yang cukup utuh dan berupaya berfungsi sebagai ejen penyelesaiannya iaitu dengan adanya ASEAN. Hal ini telah memberikan gambaran jelas bahawa era Obama akan membawa kepada satu menifestasi baru terhadap pengurangan campurtangan AS di rantau ini.
Walaupun begitu, AS sebagai kuasa utama dunia tetap memberikan kesan yang besar kepada rantau ini khususnya dari aspek ekonomi. Upaya Obama untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi AS pastinya akan membawa impak yang sangat besar terhadap rantau ini. Begitu juga seandainya kegagalan Obama untuk menstabilkan semula ekonomi AS, gelombangnya pasti akan dirasai oleh negara-negara Asia Tenggara. Sesuatu yang perlu dilakukan oleh Obama dan pentadbirannya dalam meningkatkan semula ekonomi negara tersebut ialah melalui pengurangan komitmen AS dalam peperangan. Dengan itu, beban yang dipikul oleh AS akan berkurangan.
Akan tetapi, jika dilihat dalam kontek Malaysia, AS sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam politik dalaman negara ini. Oleh yang demikian, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia awal-awal lagi telah memberi ”amaran” kepada Obama sebagai reaksi ke atas kemenangan bersejarah presiden kulit hitam pertama AS tersebut agar pentadbiran baru negara AS akan lebih menghormati kedaulatan negara kecil seperti Malaysia dan tidak menggunakan kekerasan (use of force) sebagai mekanisme kepada proses penyelesaian sesuatu masalah terhadap negara-negara di dunia. Ini kerana, semasa di bawah pentadbiran Presiden Bush, AS sering menggunakan kekuatan militari sebagai senjata untuk menyelesaikan sesuatu konflik.
Misalnya dalam usaha negara tersebut untuk menangani masalah terrorisme di negara-negara Islam seperti di Iraq dan Afghanistan. Apa yang pasti, penggunaan kekerasan dalam membendung fundamentalis Islam tersebut sebenarnya telah menyebabkan berlakunya lebih banyak kewujudan terrorisme bagi menentang tatacara AS dalam menyelesaikan permasalahan tersebut. Terdapat juga pendapa yang melihat penglibatan AS dalam misi pembendungan terrorisme juga telah mengundang kepada kemusnahan yang lebih besar terhadap kapitalisme berbanding komunisme.
Manakala Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menggesa AS agar melihat kepada era baru terhadap hubungan bilateral Malaysia-AS, serta menyarankan agar pentadbiran baru Obama menghormati dan tidak masuk campur terhadap politik dalaman negara ini. Hal ini kerana, campur tangan AS terhadap kes liwat yang melibatkan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai kaitan yang rapat dengan pentadbiran AS. Obama sendiri dikatakan amat berminat dengan pemikiran Anwar Ibrahim yang boleh menjadi penghubung kepada barat dan dunia Islam. Selain itu, Anwar juga dikatakan menganggotai yayasan antarabangsa yang turut melibatkan ahli politik dari kedua-dua buah parti AS. Keadaan tersebut telah mengeruhkan hubungan Malaysia-AS berikutan penglibatan AS dalam politik tempatan terhadap kes liwat Anwar. AS menggunakan perjuangan terhadap hak asasi bagi mempertahankan sekutu kuat mereka itu.
Disamping itu, hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh AS merupakan medium terbaik untuk AS campurtangan dalam politik Malaysia. Situasi ini juga dilihat akan diteruskan oleh Obama hasil daripada legasi yang ditinggalkan oleh Bush. Namun, beliau juga tidak menafikan kehadiran Obama akan membawa kepada pengurangan penggunaan kekerasan dalam dasar luar AS di peringkat global. Buktinya dengan penarikan tentera AS secara berperingkat-peringkat yang akan dilaksanakan dalam tempoh 16 bulan, menunjukan kesungguhan Obama bagi merealisasikan menifestonya untuk bertindak secara diplomasi dalam membendung konflik diperingkat global.
Pada masa yang sama juga, Malaysia telah bersedia untuk membuka lembaran baru dalam bidang ekonomi berkenaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan AS di bawah pentadbiran Obama. Rundingan terhadap perjanjian tersebut dengan sendirinya akan mempertingkatkan lagi hubungan perdagangan bilateral antara kedua negara. Namun begitu, kesediaan Malaysia untuk mengadakan rundingan bukan bererti Malaysia dengan sebulat-bulatnya akan meliberalisasikan perdagangannya tanpa sebarang syarat bertulis yang mesti diperakukan oleh AS.
Merujuk perkara tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan memaklumkan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tuntutan negara AS yang dirasakan tidak munasabah, mencabuli kedaulatan negara Malaysia, serta menentang polisi negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka. Beliau menambah dengan termeterainya perjanjian dengan AS, secara tidak langsung akan menyumbang kepada faedah jangka panjang yang akan diperolehi oleh Malaysia kesan daripada FTA tersebut. Tambahan pula, AS yang menghadapi krisis kewangan amat memerlukan perluasan perdagangan bagi meningkatkan semula keadaan ekonominya.
Selain itu, Islam juga merupakan konsep utama terhadap dasar luar Obama. Sokongan AS terhadap Islam Malaysia akan menjamin kepada sokongan dari negara-negara Islam walaupun tidak secara menyeluruh memandangkan Malaysia merupakan pemain utama dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Pengiktirafan Malaysia terhadap hubungan dengan AS sekaligus akan membawa kepada penerimaan secara konsensus negara-negara Islam ke atas negara AS. Situasi ini akan memperbaiki imej AS dimata negara-negara Islam yang selama ini memusuhi negara tersebut ekoran daripada dasar War On Terrorism yang memberi impak negatif kepada keseluruhan negara Islam. Seandainya imej AS tersebut berupaya dipulihkan oleh Obama terhadap negara-negara Islam, secara analitikalnya akan meransang kepada kestabilan dari aspek politik, ekonomi, dan sosial AS secara langsung.
Dalam memperjuangkan perubahan yang diutarakan oleh beliau sendiri, Obama perlu menghindarkan pentadbirannya dari dipengaruhi oleh dasar kumpulan-kumpulan tertentu. Kejayaan Obama mentadbir AS, akan menyebabkan setiap rakyatnya melupakan kegagalan pentadbiran AS di bawah Presiden Bush. Situasi ini juga akan memberi kesan terhadap golongan minoriti kulit hitam di negara tersebut. Oleh yang demikian, Obama bukan sahaja dilihat mendukung beban untuk merealisasikan kejayaan dalam dasar luar AS tetapi juga membawa bersama imej masyarakat minoriti negara tersebut.