Friday, September 19, 2008

Amerika oh Amerika

Sejak kebelakangn ini, pasaran saham Amerika mengalami kemerosotan ekoran daripada kerugian yang ditanggung oleh syarikat-syarikat kewangan negara tersebut. Pada ketika ini, masyarakat dunia akan dapat melihat kebijakan Amerika sebagai kuasa utama dari aspek ekonomi dunia untuk mengatasi masalah kejatuhan pasaran kewangan terbesar sejak kemelesetan ekonomi 1930-an.

Beberapa syarikat kewangan seperti American International Group (AIG), Bank Merril Lynch, Fannie Mae dan Freddie Mac dilihat berpotensi untuk muflis. Namun demikian, Amerika telah menyelamatkan beberapa syarikat kewangan yang dilihat mampu memberi impak yang besar kepada peningkatan semula pasaran kewangan negara tersebut serta mampu memberikan imej yang baik kepada negara lain. Pelaburan besar perlu dilakukan oleh Amerika untuk tujuan tersebut.

Persoalan sama ada Amerika mampu untuk menangani masalah tersebut banyak berkisar kepada kebijakan Bush dalam tempoh terakhirnya sebagai presiden untuk mengurus sistem kewangan negara berkenaan. Apakah akan ada propaganda atau konflik luar yang akan menjadi tumpuan Amerika bagi mengalihkan tumpuan kepada permasalahan tersebut? Sudah pasti, tidak lain dan tidak bukan adalah fokus kepada Negara-negara Islam terutamanya dalam isu Iran serta isu Georgia sebagai galang gantinya. Inilah isu yang akan digunakan oleh calon presiden andai isu tersebut masih menemui jalan buntu. Setiap negara harus berwaspada kepada keadaan tersebut kerana pada bila-bila masa Amerika boleh mengalihkan tumpuan dengan mengaitkan masalah di negara lain.

Tuesday, September 16, 2008

Ledakan Realism

Masih lagi terkenangkan bagaimana campur tangan yang cuba dilakukan oleh Amerika ke atas negara ini, saya mula mencari apakah benar bahawa negara tersebut dalam usaha untuk memperjuangkan demokrasi atau apa mungkin, ada maksud tersirat yang dibawa bersama ideologi tersebut yang diperjuangkan sejak era Perang Dingin lagi?

Persoalan tersebut terus bermain difikiran saya. Lalu saya teringat seorang penulis yang sering menulis mengenai dasar luar Amerika iaitu Profesor Cliff Staten dan salah satu makalah yang sangat mengujakan ialah U.S Foreign Policy Since World War 2. Dalam tulisan tersebut, beliau sendiri mengatakan bahawa pendekatan dasar luar Amerika selepas keluar dari orientasi Isolasinya ialah bersifat Idealis yang dipopularkan oleh Woodrow Wilson (Wilsonism). Namun, beban yang diterima semasa Perang Dunia Ke-2 bagi membantu negara-negara Eropah dalam perang tersebut telah membawa kepada kegagalan pendekatan tersebut untuk terus berkembang.

Sejak itu, Amerika mula mempraktikkan pendekatan Realis yang mengutamakan aspek kuasa, kepentingan nasional dan kewujudan satu entiti dalam menstabilkan keadaan dunia yang dianggap berada dalam keadaan anarki dalam pembentukkan dasar luarnya. Menurut ramai sarjana, faktor tersebut yang memainkan peranan besar dalam menjadikan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa yang bukan sahaja bertaraf Super Power tetapi juga Hyper Power.

Menyentuh kembali isu penglibatan Amerika dalam kes Malaysia, saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa kepentingan nasional negara Amerika masih menjadi perkara pokok. Selepas pengunduran Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Amerika sedar inilah masa terbaik dalam menguasai Malaysia dari aspek politik tambahan pula dengan situasi politik negara yang semakin meruncing, mudah bagi Amerika melempiaskan keinginan mereka.

Kini, segalanya amat bergantung kepada sejauhmanakah perubahan kuasa berlaku dalam sistem pemerintahan Malaysia. Andai berlakunya lakaran sejarah baru pada 16 September 2008, saya dapat merasakan pendekatan Realis Amerika akan bertapak di negara tercinta ini. Tepuk dada, tanyalah minda.

Sunday, September 14, 2008

Kuasa Arab Dalam Arena Bola Sepak

Kekalahan Manchester City kepada Chelsea membuktikan kuasa wang masih belum mampu untuk menandingi kekuatan taktikal yang dimiliki oleh 'Big Phil'. Barisan pemain Chelsea berjaya menunjukkan permainan berkualiti walaupun beraksi dengan 10 orang pemain setelah John Terry dibuang padang kerana dihadiahkan kad merah pada separuh masa kedua permainan.

Kekuatan kewangan yang dimiliki oleh Dr. Sulaiman Al-Fahim belum mampu memberikan tekanan terhadap 'kekuatan' dan 'pengaruh' Roman Abrahamovich untuk menjadi kuasa baru. Walaupun pernah mengeluarkan kenyataan untuk memikat beberapa bintang dunia seperti Kaka, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Fernando Torres dan Cecs Fabregas namun keupayaan pemilik Syarikat Abu Dhabi United Group tersebut masih lagi diragui kerana kombinasi pemain tersebut adalah berbeza-beza ditambah dengan pendekatan permainan yang diterapkan oleh Mark Hughes yang lebih kepada corak bertahan.

Akan tetapi, sesuatu yang pasti dan telah berlaku kini ialah dalam apa jua keadaan kita tidak akan hanya melihat sesuatu sebagai unipolar, bipolar ataupun tripolar tetapi segala-galanya adalah multipolar.Jika dahulu kita hanya dihidangkan dengan kuasa-kuasa dari negara-negara barat, namun Dr. Sulaiman membuktikan negara-negara Arab berkeupayaan untuk memberikan saingan dalam bentuk ekonomi kepada kepada kuasa-kuasa yang sedia ada.

Menjawab kepada persoalan adakah keadaan tersebut berkekalan,saya menjangkakan akan muncul lebih banyak kuasa-kuasa baru dalam menjana kekayaan ekonomi kepada kelab-kelab EPL pada masa akan datang dan tidak keterlaluan andai saya mengatakan suatu hari nanti kuasa-kuasa arab akan menguasai pentas bola sepak dunia dari aspek penjana ekonomi kepada kelab-kelab tersebut.

Tentang Politik & Histori

Ada kegemaran baharu, bersahur dan membaca. Dan pagi ini saya membaca idea Geoffrey Ponton dan Peter Gill, Introduction to Politics, di halaman 6:

Politics is closely related to many other fields of knowledge, for example, economics (material relationship), sociology (social relationship), geography (the spatial dimension) and history (the temporal dimension).

Kata mereka lagi, politik ialah mengenai ‘kuasa memerintah manusia’ dan hubungan sosial . Hujah mereka juga mengingatkan, yang politik amat rapat dengan pelbagai bidang ilmu lain termasuk sejarah.

Politik dan sejarah tidak terpisah. Sesuatu sejarah negara misalnya sering memberi implikasi politik. Nah, ini harus menjelaskan bahawa apabila kita bercakap atau menuntut, atau mengoyakkan apa-apa lembar sejarah, mahupun foto; sejarah dan politik itu amat akrab. Kerana itu berhati-hatilah mempertikaikan politik, atau menyentuh sejarah. Hatta hal yang kelihatan kecil seperti abjad dan tulisan. Kesan politiknya luar biasa. Begitu juga, penuh cermatlah tatkala menggores politik kerana ia mungkin mencederakan sejarah.

Kerana itu, saya percaya, dengan rendah diri - untuk seniman yang ingin merenung semula sejarah dalam karyanya, jika ia terpisah dari politik maka ia sia-sia. Juga jika ia bercita-cita menggarap politik dalam seninya tanpa mengetahui sejarah maka ia kebodohan.

Artikel ringkas di atas diambil dari blog
Faisal Tehrani.
* Foto dari blog
Jawapan Cinta.

Mengapa 'DiwanMathnawi' ?

Aku mati sebagai mineral
dan menjelma sebagai tumbuhan,
aku mati sebagai tumbuhan
dan lahir kembali sebagai binatang.
Aku mati sebagai binatang dan kini manusia.
Kenapa aku harus takut?
Maut tidak pernah mengurangi sesuatu dari diriku.

Sekali lagi,
aku masih harus mati sebagai manusia,
dan lahir di alam para malaikat.
Bahkan setelah menjelma sebagai malaikat,
aku masih harus mati lagi;
Kerana, kecuali Tuhan,
tidak ada sesuatu yang kekal abadi.

Setelah kelahiranku sebagai malaikat,
aku masih akan menjelma lagi
dalam bentuk yang tak kupahami.
Ah, biarkan diriku lenyap,
memasuki kekosongan, kasunyataan
Kerana hanya dalam kasunyataan itu
terdengar nyanyian mulia;

"Kepada Nya, kita semua akan kembali"

Karya Maulana Rumi