Saturday, October 31, 2009

Generasi muda kini lupa sejarah ikatan serumpun

sumber:berita harian.

Pertikaian remeh tak mampu goyahkan hubungan baik KL-Jakarta

NOVEMBER ini tanggal 11 haribulan, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) akan melakukan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara pertama yang akan dilawatinya selepas dipilih mengetuai pemerintahan Republik Indonesia untuk penggal kedua, minggu lalu. Lawatan SBY adalah sebagai membalas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir pada majlis pemasyhuran beliau sebagai Presiden Indonesia.

Sejak dilantik Perdana Menteri Mac lalu, Najib sudah melawat Indonesia tiga kali, walaupun hubungan kedua-dua negara masih didakwa menghadapi masalah dari semasa ke semasa. Dengan lebih 220 juta rakyat, Indonesia adalah sebuah negara besar dan boleh dengan mudah muncul sebagai negara berpengaruh di dunia. Sebagai sebuah kuasa yang besar, setiap individu di republik itu mestilah juga berjiwa besar. Rakyat Indonesia tidak boleh berjiwa kecil. Sebagai bangsa bermaruah, rakyatnya mestilah menegakkan martabat negara mereka dan membuktikan bahawa mereka adalah bangsa yang agung. Bangsa yang agung mestilah berjiwa besar dan bersemangat waja.


Malaysia, walau pun kecil mempunyai cita-cita dan matlamat membangunkan negaranya untuk menjadi sebuah negara maju. Atas dasar ini, kedua-dua negara perlu memikirkan perkara yang membolehkan mereka bergerak ke depan dalam bidang yang menguntungkan, bukan bercakaran soal yang tidak bermanfaat.

Dari segi 'kerajaan dengan kerajaan', hubungan Malaysia-Indonesia berada pada landasan yang betul mantap. Jika ada pun sedikit sebanyak masalah, ia hanyalah dari segi hubungan antara 'rakyat dengan rakyat'. Hari ini sebahagian besar rakyat di kedua-dua negara, terutama generasi muda, sudah tidak tahu menyanyi atau sekurang-kurangnya bersiul lagu Semalam di Malaya atau Begawan Solo yang menusuk kalbu dengan makna yang mendalam dari segi perjuangan bangsa. Jika ada pun lagu yang membabitkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara hari ini ialah lagu Cinta Ku Tertinggal Di Malaysia. Ia kisah anak-anak muda. Perjuangan mereka hari ini jauh berbeza dengan perjuangan rakyat 60 atau 70 tahun lalu.

Disebabkan hubungan yang begitu intim, maka berlakulah sedikit sebanyak pergeseran pendapat. Ini perkara biasa, ibarat adik beradik yang tinggal sebumbung, ibarat anjing dengan kucing. Jika tinggal berjauhan, tidak ada sebab pun mereka bercakaran. Malaysia dan Indonesia sering bergeseran kerana mereka sering berinteraksi antara satu dengan lain. Tidak ada sebab mereka bertegang leher dengan negara lain yang tidak ada hubungan dengan mereka. Andaian sebegini pernah diberikan SBY apabila wartawan bertanyakan mengapa Malaysia dan Indonesia sering berantakan.

Apa pun, perlu diakui bahawa keakraban Malaysia-Indonesia ini tidak lekang daripada menghadapi pelbagai masalah. Isu kecil cuba diperbesar-besarkan sedang ia bukan perkara yang sewajarnya dijadikan persoalan. Ada pihak di negara itu cuba mengeruhkan suasana dengan matlamat yang sukar difahami. Mereka gemar membangkitkan isu remeh-temeh yang mempunyai elemen emosi yang tinggi untuk mengeruhkan suasana. Di Malaysia juga beberapa peristiwa menyebabkan rakyat negara itu berasa bahangnya. Kemarahan mereka itu ada kalanya sangat difahami terutama apabila ia menyebabkan tragedi atau ada nyawa yang melayang akibat perbuatan manusia yang terkeji.

Rakyat di Indonesia juga perlu tahu bahawa tiada rakyat di Malaysia ini yang simpati dengan sebarang perbuatan zalim yang dilakukan oleh rakyat negara ini sendiri. Jika majikan melakukan keganasan terhadap pembantu rumah mereka daripada rakyat Indonesia, atas alasan apa sekali pun, tidak boleh diterima akal. Jika pembantu rumah melakukan kesalahan jenayah, serahkan kepada pihak berkuasa. Jangan menjatuhkan hukuman di tangan sendiri.

Media dianggap antara punca yang mengeruhkan suasana hubungan antara kedua-dua negara. Perkara ini dikupas dalam Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media dan Budaya) di Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Oktober lalu. Beberapa tokoh budaya dan wartawan dari kedua-dua negara mengambil bahagian dalam seminar itu.

Analisis dijalankan pensyarah Universiti Malaya menunjukkan akhbar berbahasa Melayu di negara ini banyak menyiarkan berita mengenai isu politik dan bencana alam yang berlaku di negara itu. Ada berita yang dipetik menunjukkan wujud unsur konflik antara Indonesia dengan Malaysia yang dimainkan oleh media Indonesia. Kajian itu menunjukkan dua akhbar Melayu utama di negara ini mempunyai kecenderungan berbeza dalam penggunaan bahan berita daripada agensi berita antarabangsa.

Satu lagi kertas kerja membicarakan tatasusila kewartawanan Malaysia dan Indonesia yang jauh berbeza. Wartawan Malaysia berpegang kepada Tatasusila Kewartawanan Malaysia 1980 dan Kod Perilaku Profesional Anggota Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) manakala wartawan Indonesia pula patuh kepada Kode Etika Jurnalistik 2006. Jika sebelum tahun keramat itu, wartawan Indonesia dikongkong, hari ini mereka bebas sebebas-bebasnya. Mereka begitu bebas sehinggakan ada yang mengatakan jika ada permintaan atau arahan supaya media tidak menyiarkan sesuatu berita atas sesuatu alasan, berita itulah yang akan diperbesarkan.