Monday, May 18, 2009

Rahul individu berpengaruh dalam arena politik India

NEW DELHI: Tumpuan politik India terarah kepada Rahul Gandhi, bintang kempen parti Kongres yang menang besar dalam pilihan raya India dalam masa hampir dua dekad dan disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Manmohan Singh, berkata beliau meminta Rahul, pewaris dinasti berpengaruh Nehru-Gandhi, untuk menyertai Kabinet, langkah yang dilihat penganalisis sebagai batu loncatan untuk beliau menjadi pemimpin negara itu.

Rahul tidak terbawa-bawa dengan pujian melimpah ruah selepas keputusan pilihan raya kelmarin menunjukkan Kongres memperoleh keseluruhan majoriti.

Rahul berkata dalam kenyataan yang disiarkan dalam televisyen yang beliau melihat peranannya sebagai usaha membuka sistem politik India kepada generasi muda.

"Tugas saya ialah mengubah politik negara ini dan mengeluarkan tenaga penduduk muda," kata Rahul, 38, yang ketampanan dan lesung pipit pada wajahnya menghiasi poster pilihan raya seluruh negara itu.

Bagaimanapun, penyokong setia menjerit meminta Gandhi dinamakan sebagai Perdana Menteri dan menghujani beliau dengan kelopak bunga di kawasannya di Amethi, kubu kuat keluarganya sejak sekian lama, di negeri Uttar Pradesh.

Penganalisis berkata, kemenangan besar parti itu dan berada dalam Kabinet akan membuka jalan kepada Rahul untuk menggantikan Singh, 76, yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung baru-baru ini, di pertengahan jalan penggal lima tahun.

"Ini adalah kemungkinan peralihan paling lancar bagi Rahul. Singh menjadi Perdana Menteri mungkin untuk dua tahun, kemudian meletak jawatan atas alasan kesihatan dan menyerahkan kuasa kepada Rahul," kata Subhash Agrawal, pengarah India Focus.

Rahul, ketua sayap pemuda Kongres, menegaskan ketika kempen beliau mahu membuatkan lebih ramai penduduk muda terbabit dalam politik.

Dengan 51 peratus daripada 1.1 bilion penduduk bawah usia 25 dan dua pertiga bawah usia 35, undian penduduk muda mewakili majoriti besar bagi parti itu.


* Sumber daripada www.bharian.com.my

No comments: