Sunday, July 12, 2009

PSSMI:JANGAN SENTUH KASIH SAYANG KAMI LAGI

Mungkin saya bukan orang yang layak, arif, dan seberhaknya untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan isu PSSMI. Namun, dalam negara yang mengamalkan konsep demokrasi walaupun tidak secara menyeluruh, saya merasakan amat perlu untuk melahirkan sedikit penghargaan kepada mereka yang selayak untuk mendapatkannya berkenaan isu tersebut.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu negara yang pada perkiraan saya telah membuat suatu keputusan yang akan meningkatkan kembali sokongan rakyat negara ini terhadap mereka. Melalui pemansuhan dasar PSSMI yang dilakukan, saya percaya dan berkeyakinan tinggi bahawa situasi ini (pemansuhan PSSMI) akan memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya bagi BN untuk menakluki Manek Urai. Menakluki pada hemat saya ketika ini bukanlah kemenangan secara mutlak, sebalik peningkatan kepada sokongan terhadap BN.

Keduanya, saya melihat kepada politik popular yang bermaruah yang dilakukan oleh Najib yang lebih melihat untuk meraih sokongan melalui jalan yang positif, bukan lagi menggunakan isu-isu negatif untuk memenangi rakyat negara ini yang sudah semakin tinggi tahap pemikiran mereka berkenaan mainan politik.

Akan tetapi, apa yang ingin saya nyatakan di sini secara jelas ialah jangan lagi pernah menyentuh isu PSSMI. Pada saya tidak salah untuk memantapkan bahasa asing dengan memantapkan akar umbi terutamanya melalui kaedah melahirkan lebih ramai guru pakar dalam BI yang menjadi lingua franca dalam dunia globalisasi kini. Saya dan rakyat Malaysia yang lainnya tidak pernah mempersoalkannya, cuma apa yang saya inginkan dan harapkan agar pihak-pihak tertentu tidak lagi menyentuh isu bahasa Melayu ini kerana inilah kasih sayang kami, kasih sayang yang telah lama diperjuangkan oleh nenek moyang saya dan yang lainnya yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi umat negara ini.