Tuesday, October 7, 2008

Artikel Pertama: Siasah 28 Sept-4 Okt 2008

PENIPUAN TERHADAP GADIS TEMPATAN BERKAIT JENAYAH ANTARABANGSA?
OLEH SAIFUL IZUAN MOHAMED ALLI

ERA pasca Perang Dingin telah memperlihatkan perkembangan yang sangat luar biasa terhadap ancaman kepada institusi negara. Jika dilihat pada sejarahnya, ancaman kepada negara adalah datangnya dari pelaku negara sendiri (traditional threat), namun, selepas berakhirnya Perang Dingin ancaman yang berlaku adalah sebaliknya di mana pada masa ini ancaman yang dominan kepada negara dilakukan oleh pelaku bukan negara. Contoh yang paling jelas untuk menerangkan situasi ini adalah peristiwa 9/11, begitu juga dengan insiden pengeboman di Bali. Peristiwa ini menjadi bukti kukuh kepada khalayak dunia, bahawa ancaman pada pasca Perang Dingin ini didominasi oleh pelaku bukan negara. Kemunculan pelaku-pelaku bukan negara seperti kumpulan jenayah antarabangsa dan kumpulan pengganas antarabangsa telah mewujudkan deterrent kepada manusia.

Bagi membincangkan implikasi terhadap keselamatan antarabangsa yang dibawa oleh kumpulan jenayah antarabangsa, penulis menfokuskan kepada implikasi keselamatan yang dibawa oleh aktiviti kumpulan penyeludupan dadah dengan memberi perhatian kepada kawasan Amerika Latin. Perkembangan kumpulan dadah antarabangsa banyak berkisar kepada perkembangan yang dijana oleh kumpulan dadah (drug cartel) di Amerika Latin. Kumpulan dadah Amerika Latin merupakan kumpulan utama yang menjana kepada pengeluaran dadah antarabangsa terutamanya dari jenis kokain (cocaine ).

Phil William dalam bukunya Transnational Criminal Organization and International Security mendefinisikan jenayah antarabangsa sebagai jenayah yang dijalankan oleh organisasi yang bertapak di satu negara tetapi mempunyai rangkaian menyeluruh di negara tuan rumah yang mana keadaan pasaran adalah baik dan menggalakkan serta risiko kebimbangan adalah rendah. Secara umumnya, jenayah antarabangsa dilihat sebagai satu kumpulan yang menjalankan aktiviti jenayah seperti penyeludupan senjata, pengedaran dadah, perjudian, pelacuran dan sebagainya; serta mempunyai banyak jaringan yang menjangkaui sempadan negara. Jenayah ini berkembang melalui peningkatan dalam teknologi dan telekomunikasi akibat dari ledakan globalisasi.

Kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa banyak mendatangkan implikasi terhadap keselamatan negara sama ada di peringkat internal mahupun pada peringkat eksternal. Disamping itu, beberapa sebab juga telah meransang lagi perkembangan kegiatan kumpulan penyeludupan dadah antarabangsa tersebut. Antara yang paling ketara ialah kelemahan sistem pentadbiran dan keselamatan dalam negeri, serta peningkatan terhadap permintaan dadah di benua yang lain. Hasilnya, maka wujud masalah-masalah terhadap keselamatan negara di semua peringkat.

Antara ciri negara membangun adalah negara yang mempunyai multi-etnik yang berbeza agama. Setiap etnik cuba untuk memperjuangkan hak etnik masing-masing dengan membentuk kumpulan gerila seperti Tupac Amaru, Shining Path, dan FARC ( Revolutionary Armed Forces of Colombia) dalam situasi di mana pihak pemerintah hanya memberi fokus kepada etnik majoriti sahaja. Namun demikian, kumpulan tersebut tidak mempunyai sumber kewangan dan peralatan yang selengkapnya untuk bertindak dan atas dasar tersebut, mereka dieksploitasi dengan mudah oleh kumpulan penyeludupan dadah antarabangsa untuk menjalankan kegiatan pemprosesan dan penyeludupan dadah. Sebagai balasannya, kumpulan tersebut dibiayai dari aspek kewangan dan persenjataan untuk menentang pihak pemerintah. Situasi ini menyebabkan berlakunya konflik kaum yang lahir daripada perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu pihak dengan mewujudkan ancaman dalam negara, agar pihak pemerintah akan memenuhi tuntutan mereka sebagai etnik yang tertindas (oppressed).

Sebagai contohnya, pendana dari Mexico melabur dalam perusahaan dadah Peru dengan membiayai gerakan kumpulan The Shining Path bagi menentang pihak kerajaan di bawah pimpinan presiden Alberto Fujimori. Pada masa yang sama, pelabur tersebut menggunakan kepakaran kumpulan The Shining Path untuk menjalankan kegiatan pemprosesan dadah di dalam hutan.

Implikasi lain terhadap aspek politik pula, meliputi masalah peningkatan korupsi dikalangan penjawat awam terutamanya yang menjalankan tugas penguasa bagi tujuan membanteras kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara. Tujuannya ialah untuk menjamin keselamatan kegiatan haram kumpulan terbabit untuk terus beroperasi tanpa ada halangan daripada semua pihak. Keadaan tersebut akan meruntuhkan institusi politik negara ekoran daripada ketiadaan satu mekanisma yang mampu untuk mengawal permasalahan yang melanda negara tersebut. Ini bererti, undang-undang berada ditangan kumpulan penjenayah, seterusnya mereka kelak bebas untuk melakukan kesalahan tanpa akan ada sebarang tindakan.
Ini dapat membawa kepada rampasan kuasa oleh anggota tentera. Pada kebiasaannya, pentadbiran oleh pihak tentera akan mendatangkan keselamatan kepada sesebuah negara itu kerana kerajaan awam tidak kuat dalam menjalankan pemerintahan. Ketiadaan kerajaan yang kuat ini akan memberi kesan kepada keyakinan rakyat dan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

Kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa juga berupaya untuk menjejaskan hubungan antara negara sama ada secara bilateral ataupun multilateral. Operasi kumpulan dadah antarabangsa di sesebuah negara sering mendapat reaksi yang negatif dari negara lain. Ini mengakibatkan campurtangan pertubuhan antarabangsa atau agensi-agensinya kerana dikatakan pihak berkuasa setempat tidak mengambil sebarang tindakan. Penglibatan negara lain dalam sesebuah negara akan berlaku dengan tujuan untuk membantu pembanterasan kegiatan tersebut. Misalnya dalam kes Colombia, di mana Amerika Syarikat menghantar Pasukan Interpol dan DEA bagi tujuan membasmi kegiatan kumpulan dadah yang terdapat di negara tersebut. Ini kerana, Amerika Syarikat menanggung kerugian dalam membiayai kesan daripada penyeludupan dadah ke negara tersebut. Pada masa yang sama juga Amerika Syarikat terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi membanteras kegiatan kumpulan penyeludupan dadah di Colombia dan beberapa negara Amerika Latin dengan tujuan untuk melindungi rakyat biasa daripada menjadi mangsa kepada kumpulan gerila-narko dan para-militari. Kesannya, akan mewujudkan lebih ramai pelarian yang berpotensi untuk memasuki negara Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan.

Implikasi kumpulan penyeludupan dadah antarabangsa tidak terhad di sekitar Amerika Latin sahaja akan tetapi juga berupaya menjejaskan rantau lain. Semasa era Cali Cartel berkuasa sebagai kumpulan penyeludupan dadah antarabangsa, penyeludupan dadah tidak terhad ke Amerika Syarikat dan negara-negara Amerika Latin sahaja tetapi telah berkembang sehingga ke Eropah dan Asia. Kumpulan-kumpulan tersebut dengan beberapa kumpulan mafia di rantau tersebut untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara besar-besaran. Keuntungan kumpulan penyeludupan tersebut dianggarkan mencecah sehingga $500 billion melebihi perdagangan minyak antarabangsa.

Misalnya kerjasama yang dijalankan oleh Cali Cartel bersama dengan Mafiya Russia, dan Italian Mafia di Eropah, serta Yakuza di Jepun sebagai transit sebelum dadah tersebut diseludup ke negara dirantau tersebut melalui kumpulan-kumpulan kecil yang beroperasi secara ”cell” untuk mengelakkan kumpulan tersebut mudah dikesan. Perkembangan ini sudah pasti akan memberikan impak kepada hubungan antara region ekoran penularan masalah penyeludupan dadah tidak dibendung pada peringkat akar umbinya.

Sejak akhir-akhir ini berita anak gadis tempatan ditahan pihak berkuasa negara asing sering mendominasi dada akhbar. Modus-operandi penjenayah ialah dengan memikat mereka, dan seterusnya menjadikan mereka pelancong-dadah yang tanpa disedari merupakan kader operasi jenayah antarabangsa. Kesedaran harus dibangkitkan segera dalam masyarakat supaya memahami situasi ini. Rakyat negara ini perlu menyedari tidak ada apa yang berlaku di rantau lain yang tidak memberi implikasi terhadap negara kita. Kesannya adalah langsung atau tidak langsung. Jika keadaan ini tdiak dibendung, tidak mustahil Malaysia akan didakwa sebagai pangkalan penjenayah dan dapat dijadikan alasan oleh kuasa luar untuk mencampuri urusan domestik kita.


No comments: