Sunday, June 14, 2009

Konflik Palestin: Punca dan penyelesaian.

Konflik Palestin merupakan konflik yang begitu panjang dalam sejarah pengkajian sesebuah konflik. Dalam perspektif tersebut, saya akan melihat konflik tersebut dari kerangka teori analisis konflik yang dicerna melalui penulisan Kenneth Waltz yang memperihalkan punca dan penyelesaian dalam sesuatu konflik.

Chin Peng dan emosi rakyat Malaysia

Saya mungkin tidak begitu tertarik untuk melihat dan membicarakan berkenaan keinginan sesetengah pihak yang ingin membawa kembali Chin Peng ke Malaysia. Ini kerana, pada hemat saya terdapat kepentingan politik terhadap tindakan berkenaan yang merencanakan isu tersebut. Propaganda tersebut sangat jelas dalam situasi politik yang dilihat semakin tidak menentu pada masa ini.

Mungkin pada dasarnya saya agak terkesan melihat semula kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan komunis melalui filem-filem seperti Sarjan Hassan, dan Bukit Kepong. Namun, dalam kontek ini, saya perlu rasional untuk menilai sesuatu perkara. Dan berkemungkinan saya agak keterlaluan andai membandingkan penafian hak ke atas Chin Peng di negara ini dengan individu lain yang dianggap sebagai pejuang walaupun menganggotai "pasukan" yang sama semasa kegiatan komunis berleluasa di negara ini.

Walaupun disaat kebanyakkan masyarakat mengancam dengan pelbagai tindakan seandainya Chin Peng kembali ke negara ini. Saya masih tidak melihat pengaruh yang kuat dapat dimainkan seandainya kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Pelaku-pelaku politik akan memanipulasikan keadaan tersebut untuk kepentingan masing-masing.

Monday, May 18, 2009

Rahul individu berpengaruh dalam arena politik India

NEW DELHI: Tumpuan politik India terarah kepada Rahul Gandhi, bintang kempen parti Kongres yang menang besar dalam pilihan raya India dalam masa hampir dua dekad dan disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Manmohan Singh, berkata beliau meminta Rahul, pewaris dinasti berpengaruh Nehru-Gandhi, untuk menyertai Kabinet, langkah yang dilihat penganalisis sebagai batu loncatan untuk beliau menjadi pemimpin negara itu.

Rahul tidak terbawa-bawa dengan pujian melimpah ruah selepas keputusan pilihan raya kelmarin menunjukkan Kongres memperoleh keseluruhan majoriti.

Rahul berkata dalam kenyataan yang disiarkan dalam televisyen yang beliau melihat peranannya sebagai usaha membuka sistem politik India kepada generasi muda.

"Tugas saya ialah mengubah politik negara ini dan mengeluarkan tenaga penduduk muda," kata Rahul, 38, yang ketampanan dan lesung pipit pada wajahnya menghiasi poster pilihan raya seluruh negara itu.

Bagaimanapun, penyokong setia menjerit meminta Gandhi dinamakan sebagai Perdana Menteri dan menghujani beliau dengan kelopak bunga di kawasannya di Amethi, kubu kuat keluarganya sejak sekian lama, di negeri Uttar Pradesh.

Penganalisis berkata, kemenangan besar parti itu dan berada dalam Kabinet akan membuka jalan kepada Rahul untuk menggantikan Singh, 76, yang baru menjalani pembedahan pintasan jantung baru-baru ini, di pertengahan jalan penggal lima tahun.

"Ini adalah kemungkinan peralihan paling lancar bagi Rahul. Singh menjadi Perdana Menteri mungkin untuk dua tahun, kemudian meletak jawatan atas alasan kesihatan dan menyerahkan kuasa kepada Rahul," kata Subhash Agrawal, pengarah India Focus.

Rahul, ketua sayap pemuda Kongres, menegaskan ketika kempen beliau mahu membuatkan lebih ramai penduduk muda terbabit dalam politik.

Dengan 51 peratus daripada 1.1 bilion penduduk bawah usia 25 dan dua pertiga bawah usia 35, undian penduduk muda mewakili majoriti besar bagi parti itu.


* Sumber daripada www.bharian.com.my

Monday, April 6, 2009

Al-Fatihah...

Menjelmanya tahun 2009 telah membawa seribu kepahitan dalam hidup ini. Bermula dengan pemergian seorang sahabat yang menyaksikan diri ini membesar bersama menyambut panggilan pencipta-NYA amat memilukan. Hanya doa dapat aku kirimkan kepada arwah semoga ditempatkan bersama insan-insan soleh.

Belum kering airmata dipipi, sekali lagi diri ini dikejutkan dengan pemergian arwah opah tercinta. Insan teristimewa yang membesarkan aku di usia 4 tahun pergi meninggalkan aku buat selamanya. Belum sempat budi arwah aku balas, arwah telah dijemput kekasih sejatinya. Terkenang kembali aku disaat aku dijaga oleh arwah, kenakalan aku membuatkan arwah sering menggunakan use of force untuk menjadikan aku manusia. Rotan, penyangkut baju, serta batang ubi sudah lali bagi tubuh aku ini. Akulah cucunya yang paling degil ketika itu.

Kenakalan aku tetap berterusan ketika aku mengambil kelas puisi yang diajar oleh arwah Zubir Ali, seorang tokoh seni di negara ini. Saat aku mengikuti pengajaran arwah, aku sering menjadi penentang kepada pendapat-pendapat arwah sehinggakan kelas menjadi seakan dewan parlimen yang sedang bersidang dengan hujah masing-masing bagi mempertahankan idea yang diketengahkan. Namun, tidak pernah disangka, 'perdebatan' yang sering berlaku membawa aku semakin akrab bersama arwah. Semasa hari terakhir kelas tersebut, arwah mengajak aku keluar minum sambil bertukar-tukar pendapat. Arwah yang tidak pernah lekang dengan senyuman, dan idea bernas sering menasihati aku. Kini arwah telah pergi meninggakan kehidupan duniawi menghadap Allah yang maha Esa.

Kini aku masih terkenangkan insan-insan tersebut dalam setiap saat kehidupan yang kujalani ini. Hanya doa yang dapat kukirimkan bersama mereka semoga mereka akan ditempatkan bersama-sama insan yang soleh dan solehah, InsyaAllah.


Friday, January 2, 2009

Malaysia dalam dasar luar Obama

PEMILIHAN Barrack Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang lalu telah memberikan satu dimensi baru terhadap perlaksanaan dasar AS sama ada di peringkat domestik mahupun dasar luarnya. Angin perubahan yang ditiupkan oleh Obama jelas menepati kehendak yang diinginkan oleh rakyat negara tersebut. Buktinya ialah dengan apa yang telah diterjemahkan oleh rakyat AS melalui undian mereka. Namun demikian, persoalan yang timbul kini adakah perubahan yang diutarakan oleh Obama dalam menifestonya akan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis terutamanya bagi rantau Asia Tenggara.
Bagi negara-negara Asia Tenggara, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada kemenangan Obama dalam pilihan raya presiden yang lalu kecuali perubahan dalam pengimplementasian dasar luar AS ke atas kebanyakan negara Asia Tenggara. Bahkan, negara Asia Tenggara sebenarnya kurang mendapat perhatian daripada Obama dalam menifesto beliau, malah isu Myanmar yang menjadi antara intipati dalam dasar luar AS era Bush juga seakan dilupakan. Obama berpendapat konflik dalaman Myanmar sebenarnya mempunyai satu mekanisme yang cukup utuh dan berupaya berfungsi sebagai ejen penyelesaiannya iaitu dengan adanya ASEAN. Hal ini telah memberikan gambaran jelas bahawa era Obama akan membawa kepada satu menifestasi baru terhadap pengurangan campurtangan AS di rantau ini.
Walaupun begitu, AS sebagai kuasa utama dunia tetap memberikan kesan yang besar kepada rantau ini khususnya dari aspek ekonomi. Upaya Obama untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi AS pastinya akan membawa impak yang sangat besar terhadap rantau ini. Begitu juga seandainya kegagalan Obama untuk menstabilkan semula ekonomi AS, gelombangnya pasti akan dirasai oleh negara-negara Asia Tenggara. Sesuatu yang perlu dilakukan oleh Obama dan pentadbirannya dalam meningkatkan semula ekonomi negara tersebut ialah melalui pengurangan komitmen AS dalam peperangan. Dengan itu, beban yang dipikul oleh AS akan berkurangan.
Akan tetapi, jika dilihat dalam kontek Malaysia, AS sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam politik dalaman negara ini. Oleh yang demikian, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia awal-awal lagi telah memberi ”amaran” kepada Obama sebagai reaksi ke atas kemenangan bersejarah presiden kulit hitam pertama AS tersebut agar pentadbiran baru negara AS akan lebih menghormati kedaulatan negara kecil seperti Malaysia dan tidak menggunakan kekerasan (use of force) sebagai mekanisme kepada proses penyelesaian sesuatu masalah terhadap negara-negara di dunia. Ini kerana, semasa di bawah pentadbiran Presiden Bush, AS sering menggunakan kekuatan militari sebagai senjata untuk menyelesaikan sesuatu konflik.
Misalnya dalam usaha negara tersebut untuk menangani masalah terrorisme di negara-negara Islam seperti di Iraq dan Afghanistan. Apa yang pasti, penggunaan kekerasan dalam membendung fundamentalis Islam tersebut sebenarnya telah menyebabkan berlakunya lebih banyak kewujudan terrorisme bagi menentang tatacara AS dalam menyelesaikan permasalahan tersebut. Terdapat juga pendapa yang melihat penglibatan AS dalam misi pembendungan terrorisme juga telah mengundang kepada kemusnahan yang lebih besar terhadap kapitalisme berbanding komunisme.
Manakala Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menggesa AS agar melihat kepada era baru terhadap hubungan bilateral Malaysia-AS, serta menyarankan agar pentadbiran baru Obama menghormati dan tidak masuk campur terhadap politik dalaman negara ini. Hal ini kerana, campur tangan AS terhadap kes liwat yang melibatkan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai kaitan yang rapat dengan pentadbiran AS. Obama sendiri dikatakan amat berminat dengan pemikiran Anwar Ibrahim yang boleh menjadi penghubung kepada barat dan dunia Islam. Selain itu, Anwar juga dikatakan menganggotai yayasan antarabangsa yang turut melibatkan ahli politik dari kedua-dua buah parti AS. Keadaan tersebut telah mengeruhkan hubungan Malaysia-AS berikutan penglibatan AS dalam politik tempatan terhadap kes liwat Anwar. AS menggunakan perjuangan terhadap hak asasi bagi mempertahankan sekutu kuat mereka itu.
Disamping itu, hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh AS merupakan medium terbaik untuk AS campurtangan dalam politik Malaysia. Situasi ini juga dilihat akan diteruskan oleh Obama hasil daripada legasi yang ditinggalkan oleh Bush. Namun, beliau juga tidak menafikan kehadiran Obama akan membawa kepada pengurangan penggunaan kekerasan dalam dasar luar AS di peringkat global. Buktinya dengan penarikan tentera AS secara berperingkat-peringkat yang akan dilaksanakan dalam tempoh 16 bulan, menunjukan kesungguhan Obama bagi merealisasikan menifestonya untuk bertindak secara diplomasi dalam membendung konflik diperingkat global.
Pada masa yang sama juga, Malaysia telah bersedia untuk membuka lembaran baru dalam bidang ekonomi berkenaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan AS di bawah pentadbiran Obama. Rundingan terhadap perjanjian tersebut dengan sendirinya akan mempertingkatkan lagi hubungan perdagangan bilateral antara kedua negara. Namun begitu, kesediaan Malaysia untuk mengadakan rundingan bukan bererti Malaysia dengan sebulat-bulatnya akan meliberalisasikan perdagangannya tanpa sebarang syarat bertulis yang mesti diperakukan oleh AS.
Merujuk perkara tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan memaklumkan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tuntutan negara AS yang dirasakan tidak munasabah, mencabuli kedaulatan negara Malaysia, serta menentang polisi negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka. Beliau menambah dengan termeterainya perjanjian dengan AS, secara tidak langsung akan menyumbang kepada faedah jangka panjang yang akan diperolehi oleh Malaysia kesan daripada FTA tersebut. Tambahan pula, AS yang menghadapi krisis kewangan amat memerlukan perluasan perdagangan bagi meningkatkan semula keadaan ekonominya.
Selain itu, Islam juga merupakan konsep utama terhadap dasar luar Obama. Sokongan AS terhadap Islam Malaysia akan menjamin kepada sokongan dari negara-negara Islam walaupun tidak secara menyeluruh memandangkan Malaysia merupakan pemain utama dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Pengiktirafan Malaysia terhadap hubungan dengan AS sekaligus akan membawa kepada penerimaan secara konsensus negara-negara Islam ke atas negara AS. Situasi ini akan memperbaiki imej AS dimata negara-negara Islam yang selama ini memusuhi negara tersebut ekoran daripada dasar War On Terrorism yang memberi impak negatif kepada keseluruhan negara Islam. Seandainya imej AS tersebut berupaya dipulihkan oleh Obama terhadap negara-negara Islam, secara analitikalnya akan meransang kepada kestabilan dari aspek politik, ekonomi, dan sosial AS secara langsung.
Dalam memperjuangkan perubahan yang diutarakan oleh beliau sendiri, Obama perlu menghindarkan pentadbirannya dari dipengaruhi oleh dasar kumpulan-kumpulan tertentu. Kejayaan Obama mentadbir AS, akan menyebabkan setiap rakyatnya melupakan kegagalan pentadbiran AS di bawah Presiden Bush. Situasi ini juga akan memberi kesan terhadap golongan minoriti kulit hitam di negara tersebut. Oleh yang demikian, Obama bukan sahaja dilihat mendukung beban untuk merealisasikan kejayaan dalam dasar luar AS tetapi juga membawa bersama imej masyarakat minoriti negara tersebut.