Tuesday, September 1, 2009

Konflik terbaru Malaysia-Indonesia

‘Malaysia itu memang pencuri dan kurang ajar,”-Berkisar kepada "pemilik" sebenar tarian pundet.

Apakah perasaan rakyat negara ini apabila perkataan tersebut keluar dari mulut rakyat negara jiran yang selama ini mempunyai kesamaan dari segi budaya dan tata hidup dengan penduduk negara ini.?

Mungkin sentimen "sensiviti" tersebut masih belum benar-benar wujud dalam kebanyakkan hati rakyat negara Indonesia sehinggakan terpaculnya ayat-ayat sedemikian yang jika dilihat dari kontek hubungan antarabangsa boleh mengeruhkan lagi perasaan curiga antara kedua-dua negara yang telah cuba dijernihkan selepas era pemerintahan Sukarno.

Sebagai rakyat negara yang berdaulat, kenyataan tersebut benar-benar melukakan hati saya. Bahkan saya amat yakin seluruh rakyat negara ini tersinggung ekoran daripada kenyataan tersebut. Situasi ini, saya percaya akan mewujudkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat negara ini terhadap rakyata Indonesia di negara ini. Seterusnya akan mewujudkan konflik antara kedua-duanya.

Langkah sewajarnya yang perlu diambil ialah dengan mengadakan permohonan maaf secara terbuka terhadap kerajaan dan rakyat negara ini. Selain itu juga, penyekatan kebebasan di Indonesia daripada membuat kenyataan secara terbuka juga perlu dilakukan bagi mengelak perkara sedemikian berlaku lagi. Kedutaan Indonesia di negara in juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dengan mengadakan "talk" secara terbuka dalam usaha untuk menjernihkan keadaan ini. Signifikannya ialah untuk mengelakkan perkara ini diputarbelitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi masing-masing.

Saya amat berharap langkah ini akan dapat membawa hubungan Malaysia-Indonesia kepada keadaan asal agar kerjasama yang sedia terjalin melalui ASEAN akan diperkukuhkan lagi

Monday, August 31, 2009

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata.

Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

*SUMBER: Berita Harian 31 Ogos 2007

Sunday, August 30, 2009

SALAM MERDEKA!!!!!

Sudah lama saya tidak menitipkan coretan di ruangan ini. Rasanya terlalu banyak untuk dituliskan di sini tetapi cukuplah sekadar kita berkongsi tentang kemerdekaan. Tambahan pula dalam "mood" kemerdekaan yang bakal mengunjung tiba dalam tempoh masa kurang dari 24 jam ini, mungkin ramai yang telah menyiapkan beberapa program bagi meraikan sambutan tersebut. Walaupun tampuk kepimpinan negara bertukar tangan, namun kemerdekaan tetap juga menjengah tiba, namun saya sendiri tertanya-tanya apalah erti kemerdekaan andai bangsanya masih terjajah mindanya. Tidak mengenal erti kemerdekaan yang sebenarnya dengan begitu jelas.

Apabila berbicara mengenai kemerdekaan, saya tertarik kepada prinsip yang ditanamkan oleh pemimpin negara India kepada rakyatnya. Saya tidak menafikan India juga merupakan antara negara yang mempunyai masalah korup yang paling tinggi tapi kita dapat melihat kesatuan dalam negara tersebut melalui keinginan bangsanya untuk maju. Saya percaya, bukan saya seorang sahaja yang melihat keadaan ini bahkan ramai lagi yang mengertikannya. Mereka (rakyat India) berjaya menguasai keilmuan dalam bidang perkomputeran, sehinggakan negara maju seperti AS menawarkan peluang kepada pelajar-pelajar India peluang pekerjaan di negara Uncle Sam tersebut disebabkan oleh kepakaran yang dimiliki oleh intelektual bangsa India.

Saya juga tertarik dengan sebuah filem Hindi yang ditayangkan yang berjudul Tango Charlie. Filem tersebut benar-benar mengesankan saya dalam mencari pengertian tentang kemerdekaan. Naskah yang berkisar kepada straregi peperangan yang diselitkan dengan semangat "Jai Hind". Bukan saya ingin menerangkan kiblat kemerdekaan saya adalah negara tersebut. Cuma saya ingin berkongsi bagaimana kita perlu melihat dan mencerna erti kemerdekaan yang diterapkan oleh bangsa-bangsa yang kian maju. Agar dapat kita mengekalkan kemerdekaan yang ada pada hari ini.

Saya berharap konsep 1Malaysia yang di war-warkan oleh kerajaan negara ini akan benar-benar diaplikasi. Bukan sekadar untuk kepentingan politik sahaja. Andai konsep ini dapat diaplikasi walaupun secara tidak menyeluruh, saya sangat percaya bahawa kemerdekaan yang kita peroleh sejak 50 tahun lalu akan terus kekal. SALAM KEMERDEKAAN DAR ANAK NEGARA MALAYSIA MERDEKA-WAN DIDGERIDOO..


Sunday, July 26, 2009

NON-TRADITIONAL THREAT: Dunia henti mengira kes Influenza A




Pegawai kesihatan tiada alat tepat kesan penghidap H1N1

WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan dunia sudah berputus asa untuk mengira bilangan orang yang dijangkiti virus selesema babi atau Influenza A (H1N1) dan percaya adalah lebih baik hanya menganggarkannya saja kerana virus berkenaan tidak dapat dihalang daripada terus tersebar.

Malah, pegawai kanan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Dr Anne Schuchat, turut enggan membuat anggaran, walaupun mengatakan penghidap virus itu melebihi sejuta orang.

Mengapa pegawai sepertinya juga enggan membuat kiraan adalah disebabkan mereka dan pihak berkuasa kesihatan tidak memiliki alat yang boleh membuat kiraan.

"Selain itu, kebanyakan orang yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan tidak mengetahui apa penyebabnya. Malah, kebanyakan orang yang mengalami influenza tidak mengetahui dengan tepat jenis selesema yang menyebabkan penyakit mereka," kata Schuchat kepada media.

Ujian diagnostik bagi influenza juga tidak begitu bagus. Malah, selesema babi biasanya disyaki apabila alat ujian segera untuk menguji seorang pesakit tidak dapat memberi bacaan.


"Saya fikir apa yang kita semua tahu, diagnostik kita ada hadnya," kata Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia, Robin Robinso, memberitahu pakar vaksin selesema dalam mesyuarat, minggu ini.

"Saya fikir kita semua perlu bersetuju ada keperluan memperbaiki ujian penjagaan diagnostik," kata pakar kanak-kanak, Dr John Modlin, yang mempengerusikan jawatankuasa vaksin bagi menasihatkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA).

Menyedari keperluannya, FDA memberi kebenaran menggunakan ujian kecemasan 'Quest Diagnostics Inc' bagi mengesahkan virus H1N1, ujian komersial ketiga setakat ini.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri berhenti mengira kes disahkan selesema babi atas alasan adalah lebih penting untuk memberi tumpuan ke arah usaha membendung penyebarannya.

CDC kemudian berkata, ia juga akan menghentikan kiraan jangkitan selesema babi.

"Kami fikir berjuta-juta orang dijangkiti," kata Schuchat, namun menambah ia hanyalah di hujung jari kerana hanya kes paling serius biasanya diarah ke hospital untuk diuji.


*Sumber: BERITA MINGGU 26 JULAI 2009

Sunday, July 12, 2009

PSSMI:JANGAN SENTUH KASIH SAYANG KAMI LAGI

Mungkin saya bukan orang yang layak, arif, dan seberhaknya untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan isu PSSMI. Namun, dalam negara yang mengamalkan konsep demokrasi walaupun tidak secara menyeluruh, saya merasakan amat perlu untuk melahirkan sedikit penghargaan kepada mereka yang selayak untuk mendapatkannya berkenaan isu tersebut.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu negara yang pada perkiraan saya telah membuat suatu keputusan yang akan meningkatkan kembali sokongan rakyat negara ini terhadap mereka. Melalui pemansuhan dasar PSSMI yang dilakukan, saya percaya dan berkeyakinan tinggi bahawa situasi ini (pemansuhan PSSMI) akan memberi peluang dan ruang yang seluas-luasnya bagi BN untuk menakluki Manek Urai. Menakluki pada hemat saya ketika ini bukanlah kemenangan secara mutlak, sebalik peningkatan kepada sokongan terhadap BN.

Keduanya, saya melihat kepada politik popular yang bermaruah yang dilakukan oleh Najib yang lebih melihat untuk meraih sokongan melalui jalan yang positif, bukan lagi menggunakan isu-isu negatif untuk memenangi rakyat negara ini yang sudah semakin tinggi tahap pemikiran mereka berkenaan mainan politik.

Akan tetapi, apa yang ingin saya nyatakan di sini secara jelas ialah jangan lagi pernah menyentuh isu PSSMI. Pada saya tidak salah untuk memantapkan bahasa asing dengan memantapkan akar umbi terutamanya melalui kaedah melahirkan lebih ramai guru pakar dalam BI yang menjadi lingua franca dalam dunia globalisasi kini. Saya dan rakyat Malaysia yang lainnya tidak pernah mempersoalkannya, cuma apa yang saya inginkan dan harapkan agar pihak-pihak tertentu tidak lagi menyentuh isu bahasa Melayu ini kerana inilah kasih sayang kami, kasih sayang yang telah lama diperjuangkan oleh nenek moyang saya dan yang lainnya yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi umat negara ini.